Friday, March 16, 2007

Pengertian

Nama Seni Silat Sendeng yang diabadikan oleh Allahyarham Guru Utama Haji Abdul Hamid bin Haji Hamzah pada perguruan ini, mengandungi erti dan falsafahnya tersendiri.
Di tinjau pengertiannya sepintas lalu menurut ungkapan tersebut ialah : -

SENI - adalah kehalusan atau kelembutan gerak atau langkah yang tersusun ketika menggayakan atau melakukan sesuatu pergerakan jasmani.

SILAT - ialah ketangkasan pergerakan jasmani ketika mempertahankan atau menyerang sama ada bermain secara tangan kosong atau bersenjata.

SENDENG - merupakan adunan teknik pukulan dan taktik mengelak atau menyerang berposisi mengiring. Mendalami pengertian SENDENG yang menjadi teras perguruan ini, ia mencakupi ertikata yang amat luas baik dari segi istilah, fizikal mahupun rohaniah. Dari segi istilah perkataan 'Sendeng' terdiri dari dua sukukata yang dicantumkan iaitu 'SEN dan 'DENG'.

'SEN ' - singkatan dari perkataan ' Senggam ' bermaksud kedudukan yang kukuh, kuat dan rapi.
'DENG ' - (atau ' DING ' ) berasal dari perkataan ' Dinding ' iaitu tempat bertahan, tembok atau tempat perlindungan. Di sudut fizikal pula, kedudukan secara menyendeng ketika menunggu serangan dapat menyelamatkan tujuh bahagian anggota yang merbahaya (muka, halkum, dada, sudu hati, rusuk , perut dan kemaluan.Di mana setiap bahagian sasaran utama yang menguntungkan lawan telah dikawal rapi. Dengan cara ini juga akan memudahkan pesilat untuk menggorak langkah sama ada maju ke hadapan, mengundur dan membuat buangan atau menepis.

Manakala dari segi rohaniah kedudukan menyendeng dikatakan selamat dari ancaman 'permainan jauh ' dan seandainya kena hanya sipi dan tidak tepat kerana ternyata tempat yang hendak di 'tujui' nya (seperti jantung, ulu hati dan kemaluan) telah terlindung oleh bahu malah tidak dapat ditembusi kerana digalang oleh rahsia ' Lam Alif ' yang terjadi pada bentuk badan bila berkeadaan mengiring. Lagipun turun naik nafas yang menjadi panduan utama keberkesanan ' permainan jauh' itu sukar untuk dikesan.
Oleh yang demikian itu kedudukan 'Sendeng ' merupakan salah satu cara unutk melepaskan, mematikan, membuang dan menepis sebarang bentuk 'musibah' yang menghampirinya kerana falsafah sendeng ada menyatakan "capai sebelum sampai dan bunuh sebelum hidup".

Sejarah dulu-dulu

Seni Silat Sendeng Malaysia atau dahulunya dikenali sebagai Seni Silat Sendeng Muar telah diasaskan oleh Allahyarham Haji Abd Hamid bin Haji Hamzah di Sungai Mati, Muar, Johor. Beliau telah mewarisi pembelajaran Seni Silat Sendeng ini dari ninda-ninda beliau serta guru-gurunya yang lain yang terkenal dengan kehebatan ilmu kependekaran dan persilatan serta kerohanian mereka sejak awal abad ke-20 yang silam.
Perguruan ini merangkumi persilatan dari 3 aliran yang terkenal dizaman silam iaitu Kuntau Telok Mas, Pukulan Sendeng dan Pukulan Sendeng 7 Hari. Ketiga-tiga jenis aliran persilatan ini diajar secara berperingkat yang dinamakan Kuntau 3 bulan, Sendeng dan Sendeng 7 Hari. Setiap satu diperturunkan sama seperti aliran persilatan yang asal tanpa mengubah atau mencampur aduk permainan.
Bagi Kuntau 3 Bulan pelajarannya terdiri dari tari dan langkah silat Melayu yang asli seperti lela sembah, lompat tiong , lebah mengurap, lipat pandan dll, permainan senjata seperti keris, tumbuk lada , tekpi ,pedang , pedang–perisai dan tembong. Juga terdapat belebat kuntau , pecah(kata) ,pernafasan lean dan pukul selain dari tangkapan dan kuncian.
Dalam permainan Sendeng terdapat belebat, langkah dan pukul termasuk cara menyerang tangan kosong dan sparing. Permainan Sendeng 7 Hari lebih menumpukan kepada membaca gerak dan melapis pukul sendeng serta mengenali sasaran lemah pada lawan. Dalam peringkat ini cara bertahan atau menyerang tidak bergantung kepada lawan.